Sunday, June 25, 2017

Kanak-kanak maut pecah bahagian atas kepala akibat letupan mercun

Tags

KUCHING 25 Jun - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut semasa bermain mercun sendirian di halaman rumahnya di Kampung Bintawa Hilir, Petra Jaya di sini, tengah malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa, Haiqal Hakim Zolpaka meninggal dunia di tempat kejadian akibat pecah bahagian atas kepala dipercayai terkena letupan kuat mercun. Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner (ACP) Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian menimpa murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Matu Baru itu disedari bapanya semasa sedang berkemas untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri di dalam rumah. 

"Semasa bapa mangsa sedang berkemas di dalam rumah, dia telah terdengar bunyi letupan kuat dari luar. "Dia kemudian memeriksa bunyi kuat itu dan terkejut melihat anak lelakinya sudah terbaring dan tidak bernyawa di perkarangan rumah," katanya ketika dihubungi di sini, pagi ini. 

Beliau berkata, penduduk kampung telah membantu mengangkat mayat mangsa ke dalam rumah sementara menunggu polis sampai. Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit telah bermain mercun di luar rumah seorang diri sepanjang malam."Bapa mangsa memaklumkan, anaknya itu memang selalu bermain di luar rumah bersendirian. "Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepala mangsa iaitu pecah di bahagian atas," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak iaitu kecuaian ibu bapa. - UTUSAN ONLINE

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon