Monday, July 17, 2017

'Despacito' Dan 'Shape of You' Liriknya Berunsur Lucah?



Hiburan suatu kemestian dalam kehidupan seseorang. Setiap individu mempunyai cara berhibur tersendiri.

Muzik salah satu hiburan yang amat rapat dengan manusia. Muzik seakan-akan tidak lekang dalam kehidupan kita sehari-harian.

Muzik dapat mempengaruhi perilaku manusia. Beberapa kajian menunjukkan, perkembangan mental kanak-kanak berumur 3-4 tahun yang didedahkan dengan unsur muzik dan alat muzik sejak awal lebih aktif. Hal ini kerana muzik akan merangsang pembentukan sel-sel otak seterusnya berkembang lebih cepat sehingga meningkatkan kemampuan kognitif mereka.

Menurut kajian Universiti Harvard, “excecutive functions” adalah fungsi yang berkembang sejak awal pada diri manusia mampu mengakses maklumat, mengingati arahan, menumpukan perhatian dan mampu menggerakkan individu menjadi multitasking.

Fungsi ini sangat penting dalam perkembangan kanak-kanak dan mampu mempengaruhi otak.

Pengaruh muzik juga mampu mengaktifkan perkembangan prefrontal cortex, bahagian yang menjadi pusat perkembangan excecutive functions.

Maka didalam hal ini apa yang didengari oleh individu mampu mempengaruhi tingkah lakunya seharian.

Di dalam etika dan Akta Komunikasi Penyiaran Malaysia terdapat ciri ciri siaran hiburan yang tidak boleh disiarkan.

Antaranya melarang senikata yang mengghairahkan, tidak bersopan, biadap dan lucah. Senikata yang menggalakkan tingkahlaku liar seperti kebebasan seks, penagihan dan penyalahgunaan dadah dan ganas.

Baru-baru ini, masyarakat Malaysia dipopularkan dengan 2 lagu, “Despacito” dan “Shape of You”. Kedua-dua lagu ini secara umumnya menceritakan dan mengambarkan perlakuan lucah.

Adakah pihak berwajib tidak menyemak atau mengawal lagu yang dikumandangkan?

“Despacito” dan “Shape of You” merupakan contoh lagu yang mengajak kepada seks bebas. Kandungan liriknya ternyata mempunyai unsur pornografi. Jangan kerana muziknya sedap didengar maka semuanya diterima.

“Ala… lagu jer, bukan apa pun, just dengar dan happy” – ramai beranggapan sebegini. Namun sedar atau tidak, keinginan untuk mengetahui apa yang terkandung dalam setiap lirik lagu akan dizahirkan.

Bayangkan jika lirik ini diterokai oleh kanak kanak. Secara tidak langsung gejala pornografi dan seks bebas akan berkembang.

Generasi kini amat bijak dan cepat dalam muzik. Muzik memainkan peranan yang penting dalam kehidupan. Maka perkara ini akan merebak lebih teruk jika tidak dibendung daripada sekarang.

Antara langkah yang boleh diambil ialah:
Menguatkuasakan undang undang penyiaran dan hiburan mengikut ciri yang ditetapkan di dalam akta penyiaran dan komunikasi Malaysia dengan lebih telus dan tegas.

Melakukan semak semula dan audit setiap muzik dan lagu yang disiarkan.

Melaksanakan program berbentuk kesedaran bahaya pornografi kepada masyarakat terutama pelajar, belia dan ibu bapa agar cakna dengan kesan buruk pornografi dalam kehidupan semasa.

* Mohd Fadhli Othman merupakan jurucakap kumpulan Goodbye Pornography. -Pandangan peribadi disiarkan dalam FMT

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon