Monday, July 24, 2017

Hanya 1 Kontena Didalamnya Daging Babi Dan Kambing



PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menafikan berita tular di laman sosial mengatakan konon 74 kontena mengandungi daging babi yang terlepas.

Ketua Pengarah Maqis, Datuk Mokhtaruddin Husain berkata, pihaknya tidak pernah berkompromi dengan apa juga kemasukan barangan makanan dari luar ke negara ini apatah lagi melibatkan isu kesihatan, halal dan sebagainya.

“Cuma empat buah kontena sahaja yang telah dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor baru-baru ini dan hanya satu daripadanya yang disahkan memang berlaku percampuran antara daging babi dan kambing.

“Tiga kontena yang lain pula didapati memalsukan dokumen pengisytiharan kemasukan kerana mengimport daging daripada Sepanyol dan Brazil walhal ia seharusnya mengandungi semua daging diimport daripada Australia sahaja.

“Justeru, orang ramai terutama umat Islam dinasihatkan jangan was-was dengan daging import yang dibeli kerana pihaknya telah memastikan setiap kemasukan daging adalah selamat,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Pada Selasa lalu, sebuah syarikat import yang berpangkalan di Selangor dilaporkan melanggar peraturan Maqis apabila dengan sengaja mencampur aduk daging kambing dan babi dalam beberapa buah kontena yang sama.

Empat kontena sejuk beku tersebut dengan berat keseluruhan dianggarkan 120 tan dan bernilai kira-kira RM2 juta itu bagaimanapun telah disita oleh pihak penguat kuasa Maqis di PTP dalam operasi khas awal 17 Julai lalu.

Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 11 (1) Akta Maqis manakala syarikat pengimport tersebut boleh dihukum denda maksimum sebanyak RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada enam tahun atau kedua-duanya.

Dalam tiga kontena berkenaan, ketika dirampas pihak Maqis jam 1 tengah hari, daging disusun bercampur, namun pengusaha tempatan produk sejuk beku itu dipercayai mempunyai sijil halal keluaran pihak berkuasa tempatan.

Pihak Maqis dilaporkan menerima maklumat risikan sejak 31 Mei lalu dan terus menyekat pergerakan kontena itu daripada keluar kawasan PTP, selain menjalankan siasatan bagi mengesan pengimport produk berkenaan.

Insiden rampasan itu kemudian menjadi tular apabila ada netizen mendakwa Maqis gagal mengesan 74 kontena lain yang diimport syarikat sama lolos sehingga mencetuskan kebimbangan umat Islam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon