Friday, July 28, 2017

Kantoi Mencuri Buah Kelapa Sawit


POLIS menahan dua lelaki disyaki menceroboh dan mencuri kelapa sawit di kebun kelapa sawit di Kampung Pulai Sebatang, Ayer Baloi, Pontian, hari ini.

Kejadian kira-kira 7 pagi itu disedari pekerja kebun sebelum dimaklumkan kepada pekebun berusia 41 tahun yang juga anak saudara kepada pemilik kebun berkenaan.

Pengadu yang bergegas ke lokasi kejadian kemudian melihat dua lelaki sedang memasukkan buah kelapa sawit yang dipetik dan dilonggokkan di kebun berkenaan ke dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, selepas melihat tindakan dua lelaki berkenaan, pekebun itu kemudian menghubungi Balai Polis Ayer Baloi untuk mendapatkan bantuan tangkapan suspek.

"Bertindak atas maklumat itu, anggota Balai Polis Ayer Balai kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan pada 8.30 pagi polis menahan dua suspek berusia 24 dan 31 tahun itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas kereta dipercayai digunakan suspek melakukan kegiatan mencuri buah berkenaan.

Katanya, ketika dirampas, kenderaan itu sudah dimuatkan dengan 22 tandan buah kelapa sawit serta pemotong sawit.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM300.

Menurut beliau, hasil ujian saringan awal air kencing, kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan," katanya. -HMetro

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon