Tuesday, July 11, 2017

Korea Selatan Paling Sedikit Anak Tak Sah Taraf


SEOUL – Korea Selatan mencatatkan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf yang paling rendah berbanding negara membangun berpendapatan tinggi.

Menurut kajian Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD), situasi tersebut berikutan sentimen kuat budaya negara ini yang amat menentang trend memperoleh anak tanpa bernikah terlebih dahulu.

Kadar purata bayi yang dilahirkan tanpa pernikahan adalah 1.9 peratus di negara ini pada 2014 iaitu yang paling rendah antara 35 negara yang menganggotai pertubuhan tersebut.

Laporan terbaharu itu telah didedahkan oleh Bank of Korea (BOK) berdasarkan pangkalan data keluarga di negara ini.

Jumlah tersebut juga adalah lebih rendah berbanding Jepun yang mempunyai kadar 2.3 peratus dan lebih rendah daripada purata 39.9 peratus negara anggota OECD dalam tempoh tersebut.

Kajian pertubuhan berkenaan juga mendapati golongan wanita di negara ini juga mempunyai kadar kelahiran bayi di luar nikah yang rendah.

Malah golongan wanita yang berkahwin juga cenderung untuk memperoleh anak sulung dalam usia yang lebih dewasa.

Golongan ibu di Korea Selatan dilaporkan melahirkan anak sulung pada usia purata 31 tahun pada tahun berkenaan.

Jumlah itu adalah lebih tinggi dalam kalangan negara pertubuhan berkenaan yang mencatatkan purata 28.9 peratus bagi tempoh yang sama.

Purata kelahiran di negara ini adalah 1.21 peratus dalam tempoh tersebut, sekali lagi lebih rendah da­ri­pada purata 1.67 peratus bagi negara OECD secara keseluruhan. – BERNAMA

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon