Wednesday, July 26, 2017

Pastor Raymond Koh Hilang Mungkin Ada Kaitan Dengan Kumpulan Jenayah


Kuala Lumpur – Polis percaya kehilangan Pastor Raymond Koh, di Petaling Jaya, pada Februari lalu, mempunyai kaitan dengan sebuah kumpulan diketuai seorang lelaki dalang penyeludupan senjata api dan dadah yang ditembak mati di Ulu Lenggong, Kedah, pada 17 Jun lalu.

Malah, siasatan polis juga mendapati kumpulan berkenaan turut mempunyai jaringan dengan aktiviti penyeludupan manusia di selatan Thailand.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata setakat ini pihaknya masih bekerjasama dengan Polis Thailand untuk mengesan rangkaian kumpulan berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal yang dilakukan ke atas tiga lagi suspek yang ditahan pada hari sama ketua mereka ditembak mati, kumpulan terbabit mempunyai hubung kait dengan sebuah lagi kumpulan di selatan Thailand.

“Pada masa ini kita turut bertukar-tukar maklumat dengan rakan kita di Thailand dalam usaha mengesan dan memburu rangkaian kumpulan terbabit termasuk mendapatkan maklumat mengenai Pastor Raymond Koh,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Khalid berkata, pihaknya juga percaya kehilangan seorang lagi lelaki iaitu Peter Chong, pada 31 Mac lalu, turut mempunyai kaitan dengan kumpulan sama.

Beliau bagaimanapun masih belum dapat memastikan keadaan sebenar Raymond sama ada masih hidup atau mati namun meminta ahli keluarga menunggu hingga maklumat sebenar diperoleh. – BH Online

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon