Friday, July 14, 2017

Peguam; Sebatan Di Khalayak Ramai Akan Jadi 'Hiburan' Orang Tempatan


Nik Elin Nik Rashid berkata sebatan di khalayak untuk kesalahan syariah yang diluluskan kerajaan Kelantan 'sangat terkebelakang' dan hanya boleh dibandingkan dengan keadaan di Rom purba.

PETALING JAYA: Peguam Nik Elin Nik Rashid menyamakan hukuman sebat pesalah syariah di khalayak dengan “kegasaran” menyerahkan pesalah dan tahanan perang kepada singa lapar di zaman Rom purba.

Perbandingan itu berikutan Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan undang-undang yang membolehkan pesalah syariah disebat di khalayak ramai.

Nik Elin, yang berasal dari Kelantan, berkata langkah kerajaan negeri itu “sangat terkebelakang” hinggakan ia hanya boleh dibandingkan dengan apa yang berlaku di sebalik tembok Colosseum pada 70 masihi.

“Arena Colosseum dibina pada zaman Rom purba sekitar 70 masihi. Ia dapat menampung 50,000 orang pada satu masa dan diingati sebagai tempat di mana penjenayah tidak bersenjata dan tawanan perang dilemparkan ke singa lapar diikuti sorakan orang ramai. Cara mati yang kejam dan tidak bertamadun.”

“Hari ini, saya mendengar berita Padang Merdeka di sebelah Masjid Muhammadi akan menjadi ‘arena baru’ di mana pesalah jenayah syariah akan dihukum,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, dengan nada menyindir berkata Nazri boleh menjadikan hukuman sebat di khalayak ramai sebagai tarikan pelancong.

Nik Elin menyuarakan sentimen yang sama dan berkata sebatan di khalayak ramai akan menjadi “hiburan” untuk penduduk tempatan.

“Kelantan tidak ada banyak pusat hiburan.

“Jadi, ramai warga Kelantan akan dahagakan hiburan seperti itu di mana mereka boleh menonton wanita disebat kerana kesalahan moral seperti zina (6 sebatan), persediaan untuk melakukan zina (3 sebatan), minum arak (6 sebatan) dan liwat (6 sebatan).

“Sebaik sahaja Akta 355 diluluskan, 3 hingga 6 sebatan ini akan ditingkatkan kepada 100 sebatan, dan 40 hingga 80 sebatan kerana minum alkohol.


“Saya mungkin berpeluang untuk menjana keuntungan daripadanya kerana saya pasti akan ada ramai dari kawasan pinggir Kelantan yang ingin melihat sebatan khalayak ini dan mereka mungkin perlukan tempat tinggal.

“Saya boleh sewakan kediaman kami sebagai hotel,” katanya, sambil menambah kondominium keluarganya terletak di sebelah Padang Merdeka di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata sebagai orang Kelantan, beliau “tergamam” kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pengawasan moral daripada “banyak” masalah yang membelenggu rakyat Kelantan “sejak sekian lama”.

“Kita mesti ‘puji’ kerajaan Kelantan yang mahu memastikan orang ramai takut melakukan dosa zina dan minum arak kerana bagi mereka, zina dan minum arak dosa yang lebih besar dari rasuah, salahguna kuasa, rompak dan salah guna kuasa.

“Lupakan kemunduran ekonomi, penebangan hutan haram dan pembalakan tanpa pengawasan dan banyak lagi penyakit ekonomi negeri.

“Lupakan yang Kelantan setiap tahun menghadapi masalah banjir dan pengairan yang tidak dapat diselesaikan.

“Lupakan keadaan kebersihan negeri yang memalukan dan kebersihan menjadi masalah yang serius kerana kekurangan prasarana secukupnya.

“Saya ada beberapa rumah di tengah bandar Kota Bharu dan tiada ada sanitasi yang sewajarnya dan kami bayar RM100 kepada Majlis Perbandarana Kota Bharu untuk datang dan tangani sisa kami dengan lori tangki mereka.

“Keluarga saya menetap di kawasan mewah Kota Bharu di Jalan Telipot, dan longkang kami pun tidak berfungsi dengan baik.

“Walaupun berdepan masalah-masalah ini sejak sekian lama, apa yang penting untuk kerajaan negeri ialah hukum pesalah moral.”

Nik Elin mendakwa bukan sahaja kerajaan Kelantan terlupa “makna sebenar” Islam, ia memaparkan pula versi Islam yang “gasar dan mundur”.

“Kita hidup dalam masyarakat berbilang agama. Sekiranya kita mahu berkelakuan sebagai orang Islam, kita mesti tunjukkan betapa indahnya agama kita kepada yang orang lain. Kita mesti tunjukkan kepada mereka keindahan Islam.

“Apabila Islam digambarkan sebagai gasar, tiada belas kasihan, sempit dan tertutup, dan tidak bertamadun, kita hanya memburukkan agama sendiri.

“Ke mana perginya prinsip Islam al-‘Adalah (keadilan), al-Musawah (kesamaan), al-Hurryyah (kebebasan), al-Mashlahah (kebajikan) dan al-Tasamuh (toleransi)?

“Kerajaan negeri sepatutnya tumpu kepada tadbir urus yang baik, masyarakat yang baik melalui ekonomi mampan, mewujudkan masyarakat yang bersih, berhemat, teratur dan bebas – tanpa melaksanakan hukuman keras.”

Semalam, seorang lagi anak jati Kelantan, bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim tidak terkejut dengan kelulusan undang-undang itu kerana “PAS tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan kepada rakyat pada pilihan raya umum akan datang”. -FMT

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon