Sunday, July 30, 2017

Pelacur Pelbagai Negara Ditahan Di Premis Hotel 'Pelacur Dan Judi'


KUALA LUMPUR: Sebuah hotel di ibu negara diserbu selepas dikesan menyediakan 'perkhidmatan' pelacuran serta perjudian komputer.

Serbuan pada jam 5.30 petang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu dilakukan susulan aduan awam serta risikan yang dijalankan.

Susulan pemeriksaan di tingkat lima hotel terbabit, seramai 22 wanita warga asing disyaki pelacur serta enam pelanggan ditahan. Tiga penjaga di premis berkenaan turut ditahan.

Dalam serbuan berasingan di aras bawah premis terbabit yang dijadikan pusat perjudian komputer, polis menahan lima penjaga serta empat pemain.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata semua wanita yang ditahan berusia antara 19 tahun dan 32 tahun, terdiri daripada tujuh warga Vietnam, Indonesia (7), Mongolia (3), Republik Kyrgys (2) dan masing-masing seorang warga Russia, Kazakhstan serta Thailand.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat seks, Seksyen 56 (1)(l) Akta Imigresen 1959 serta Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 39 (b) akta sama," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, kes perjudian komputer disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Semua yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut. -BHarian

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon