Tuesday, July 11, 2017

Penunggang Motosikal Maut Kerana Ingin Mengelak Lubang Besar Di Atas Jalan Raya


Klang – Gara-gara ingin mengelak sebuah lubang besar di atas jalan raya, seorang pemandu jentera pengangkat barang atau forklift maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas dalam kejadian di Jalan Perigi Nenas 8/7, Pelabuhan Barat, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, mangsa, Amir Ramli, 31, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan termasuk kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Pinang, Pulau Indah.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa cuba mengelak lubang besar yang berada di tengah jalan yang dalam proses pembaikan. Namun keadaan jalan yang sedikit berbatu dan berpasir menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas.

“Akibatnya mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah pada kepala. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alzafny berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat.

“Akibat kemalangan itu juga motosikal mangsa turut mengalami kerosakan pada beberapa bahagian,”katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Kosmo

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon