Thursday, July 13, 2017

Rumah Ibu Tunggal Menjadi Port Penagihan Dadah


DUA wanita termasuk ibu tunggal dua anak antara enam ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Sik, di rumah di Kampung Berona Kiri, Sik, 7 malam hari ini.

Ketua Pegawai AADK Daerah Sik, Roslin Baharom berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan lima anggota AADK diketuai olehnya melakukan operasi di rumah berkenaan.

"Rumah ibu tunggal itu menjadi port penagihan dadah sejak dua bulan lalu dan mereka menghisap dadah ketika jiran sibuk bekerja.

"Namun, hasil risikan sejak dua hari lalu kami mengesan kegiatan mereka dan ketika serbuan, ibu tunggal terbabit membuka pintu kerana menyangka rakan mereka datang untuk melepaskan gian bersama,"katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejurus pintu dibuka, empat lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 32 tahun itu berada di ruang tamu.

"Kita menahan mereka sebelum dibawa ke Pejabat AADK Daerah Sik untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing, semuanya positif dadah jenis opiat dan metamphetamine dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.

Roslin berkata, hasil soal siasat ibu tunggal berusia 29 tahun itu mengaku menagih dadah hampir dua tahun kerana tekanan perasaan.

"Dia mempunyai dua anak berusia lapan tahun dan lapan bulan. Anak bongsunya itu tiada taraf kelahiran dan kini dijaga oleh bekas suami," katanya.

Beliau berkata, mengambil dadah bukanlah jalan yang terbaik mengatasi masalah hidup, malah memberi kesan negatif kepada diri dan anak yang tidak berdosa. -hmetro

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon