Friday, July 28, 2017

Wanita Indonesia Diburu Kes Mayat Dalam Longkang


Kuala Lumpur – Polis kini sedang memburu seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang dibungkus dalam plastik hitam dalam kejadian di Jalan Kampung Chin Lee, Batu 6, Kepong di sini pada 20 Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy, wanita terbabit dikenali sebagai Nadia Kristina, 37, dan alamat terakhirnya di Blok A, Persiaran Lemak, Taman Segar, Cheras.

“Seorang wanita warga Indonesia sedang dikesan bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai wanita tersebut diminta untuk tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Azrizal Khairul Abdul Kadir di talian 019-276 9117,” katanya kepada Kosmo!.

Kosmo! pada Jumaat lepas melaporkan satu mayat kanak-kanak lelaki yang dibungkus dengan plastik hitam dan berbau busuk ditemui dalam longkang berhampiran sebuah bengkel.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Md. Isa berkata, punca kematian kanak-kanak lelaki berusia lingkungan empat hingga lima tahun itu disebabkan hentakan objek tumpul pada kepala. – Kosmo

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon