Wednesday, August 2, 2017

Lelaki 'Pengganda' Wang Dihukum Penjara 18 Tahun

Tags


Probolinggo - Ketua ajaran sesat, Dimas Kanjeng Taat Pribadi yang terkenal kerana mendakwa boleh menggandakan wang, dihukum penjara 18 tahun selepas didapati bersalah merancang pembunuhan seorang pengikutnya.

Mahkamah Daerah Kraksaan di Jawa Timur mendapati Dimas bersalah merancang membunuh Abdul Ghani yang mahu membocorkan penipuannya.

“Tertuduh berjaya dibuktikan tanpa keraguan munasabah merancang pembunuhan mangsa,” kata ketua panel hakim, Basuki Wiyono yang dipetik Antara.

Dimas menjadi popular selepas beberapa video menunjukkan dia mengeluarkan ratusan wang kertas dari belakangnya.

Ketua pendakwa raya, Usman berkata, pihaknya bakal membuat rayuan kerana hukuman itu terlalu ringan.

Pendakwa raya sebelum ini memohon hukuman penjara seumur hidup.

Peguam Dimas, M Soleh pula memberitahu, tertuduh akan membuat rayuan kerana yakin dia tidak bersalah.

Dimas mempunyai ribuan pengikut termasuk pegawai kerajaan dan ahli politik yang percaya pemimpin itu mempunyai kuasa ajaib dan mampu menggandakan wang.

Selain tuduhan merancang pembunuhan, Dimas juga berdepan dakwaan menipu.

Dua pengikutnya, Abdul Ghani dan Ismail Hidayah dilaporkan mati dibunuh kerana cuba mendedahkan penipuan lelaki itu. – Harian Metro

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon