Wednesday, August 29, 2018

Bekas KPN pernah lebamkan mata Anwar dikatakan tidak layak sebagai fasilitator

Tags

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Rahim Noor, yang pernah dipenjara selama dua bulan kerana menyebabkan mata Anwar Ibrahim lebam semasa dalam tahanan polis merosakkan imej PH apabila beliau dilantik sebagai fasilitator rundingan damai antara Bangkok dengan pejuang Islam di selatan Thai.

Beberapa pemimpin parti politik sama ada PH mahupun BN membantah keras pelantikan tersebut. Terbaru, FMT Reports melaporkan, veteran DAP Dr Boo Cheng Hau turut mempersoalkan pelantikan tersebut.

Dr Boo

Dr Boo dalam satu kenyataan berkata, ia juga menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan pemulihan institusi.

Menyebut bahawa Rahim pernah dipenjarakan selama 2 bulan kerana menyerang pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis, Dr Boo berkata, hakim dalam kes tersebut menyifatkan perbuatan bekas KPN itu sebagai “teruk dan tidak berperikemanusiaan” dan “perbuatan tidak berdisiplin paling buruk dalam sebuah pasukan yang berdisiplin seperti polis”.

“Semua anggota Kabinet didesak secara bersama-sama menolak pelantikan bekas KPN yang disabitkan dengan tuduhan jenayah untuk mewakili Malaysia dalam rundingan damai antarabangsa bagi menghalang kemerosotan imej positif negara sebagai sebuah negara yang beriltizam untuk melakukan perubahan.

“Malaysia baru harus ditampilkan sebagai sebuah negara yang berperikemanusiaan, dan wakil serta pegawai awam yang mewakili negara mestilah berintegriti dan disegani,” katanya, sekali gus meminta setiausaha agung DAP dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Rahim 75, menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini sebagai fasilitator rundingan damai antara kerajaan Thai dengan Mara Patani, sebuah gabungan kumpulan pejuang Islam.

Pelantikan Rahim menerima bantahan keras daripada banyak pihak termasuk anak Anwar dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah dan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Sumber: FMT Reporters

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon