Sunday, August 26, 2018

Kejutan ‘berita baik’ Donald Trump kepada penduduk Palestin

Tags

Sumber gambar: www.rt.com 

WASHINGTON 25 Ogos - Pihak pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Do­nald Trump telah memba­talkan bantuan dana bernilai lebih AS$200 juta (RM818 juta) kepada penduduk Palestin di Gaza dan Te­bing Barat.

Menurut pegawai kanan di Jabatan Negara AS, keputusan itu dibuat atas arahan Trump selepas mengkaji program-program bantuan yang diberikan kepada wilayah-wilayah Palestin.

Bantuan dana berjumlah AS$­200 juta bagi program di S Gaza dan Tebing Barat kini akan disalurkan kepada projek-projek yang lebih menjadi keutamaan di tempat-tempat lain.

Pegawai itu juga menyalahkan pergerakan pejuang Hamas sebagai punca keputusan itu dibuat.


Beliau mendakwa pihak antarabangsa berdepan cabaran untuk membantu penduduk Palestin di Gaza, kerana penguasaan pergerakan Hamas di kawasan itu membahayakan penduduk di kawasan terbabit dan menjejaskan bantuan kemanusiaan sedia ada dan juga ekonomi.

Pada Januari lalu, AS telah mengambil langkah drastik apabila memotong bantuan dana yang disalurkan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pela­rian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).

Hubungan antara pentadbiran AS dengan Pihak Berkuasa Pa­lestin bertambah buruk apabila Trump mengumumkan keputusan negara ini untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Sehubungan itu, barisan ke­pemimpinan Palestin menggantung hubungan dengan pentadbiran AS dan menganggap mereka tidak lagi mampu memainkan peranan dalam proses damai Asia Barat.

Keputusan memotong bantuan dana kepada penduduk Palestin dibuat ketika krisis kemanusiaan berlaku di Gaza yang menyaksikan beberapa tunjuk perasaan tercetus antara penduduk tempatan dengan tentera Israel sejak Mac lalu.


Sekurang-kurangnya 71 penduduk Palestin terbunuh di tangan tentera Israel dalam siri tunjuk perasaan di kawasan sempadan Gaza-Israel.

Sementara itu, anggota Parti Demokratik, Senator Patrick ­Leahy menuduh White House terlibat dalam satu siri tindakan provokatif serta menjejaskan dan tidak mewujudkan dasar sewajarnya bagi memastikan usaha damai antara Palestin dan Israel berjalan lancar.

Trump sebelum ini memberikan tugas kepada menantunya, Jared Kushner dan peguam Jason Greenblatt untuk mengemukakan kertas cadangan mengenai usaha damai tersebut dan memaklumkan bahawa terdapat ‘berita baik’ untuk disampaikan kepada penduduk Palestin pada awal minggu ini. – AFP

Artikel Penuh ini dikongsikan dari portal berita Utusan Melayu: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/trump-tekan-palestin-1.735753#ixzz5PG5qc9Y5

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon