Wednesday, August 29, 2018

'Menemen' Apakah ia harus dimasak dengan atau tanpa bawang?

Tags

Beberapa bulan lepas kita dikejutkan dengan ulasan rendang ayam yang dimasak oleh Zaleha Kadir Olpin, peserta MasterChef UK yang tersingkir. Ulasan Wallace sangat menjengkelkan kerana dia berpendapat “kulit ayam tidak rangup” selain berkata kuah berlebihan pada rendang menjadikanya sukar untuk dimakan.

Kali ini, isu yang hampir sama berlaku di Turki iaitu melibatkan bagaimana cara memasak 'menemen' yang betul. Dengan bawang ataupun tanpa bawang?

Menemen. Sumber: yemektarifileri.com

‘Menemen’ adalah sarapan tradisional Turki yang mengandungi telur, tomato dan cili hijau. Lazimnya, juadah ini dimasak di rumah seperti mana hidangan ‘nasi lemak’ di Malaysia.

Bagaimanapun, masih ada persoalan berbangkit mengenai cara memasak ‘menemen’.

Apakah ia harus dimasak dengan atau tanpa bawang?

Lebih daripada 437,000 orang memberi maklum balas apabila Vedat Milor, seorang pengkritik makanan selebriti Turki, bertanyakan soalan itu dalam satu kaji selidik di Twitter.

“Mungkin, kita tidak boleh menyelamatkan dunia menerusi Twitter, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat menamatka isu gastronomi yang kita hadapi sekarang! Apakah ‘menemen’ perlu dimasak dengan atau tanpa bawang?” soal Vedat.

Menemen. Sumber: http: culinaryflavors.gr



Dan, maklum balas yang diterimanya adalah hampir sama – separuh daripada mereka mahu ia dimasak dengan bawang dan separuh lagi, tidak.

Apa yang lebih mengejutkan adalah bilangan mereka yang mengambil bahagian dalam kaji selidik itu.

Nampaknya, perkara itu sememangnya penting bagi seseorang tukang masak.

Ali Onal, yang sering memasak ‘menemen’ sepanjang kerjayanya selama 20 tahun sebagai chef di sebuah hotel di Ankara, memberitahu, beliau menggunakan bawang semasa menyediakan juadah itu untuk kakitangan dalaman namun, juadah yang disajikan kepada tetamu biasanya tanpa bawang.

“Setiap rumah di Turki menghasilkan ‘menemen’. Sesetengah orang sukakannya dengan bawang, sesetengah lagi tidak sukakan rasa bawang itu,” katanya kepada Bernama.

“Secara peribadi, saya suka menggunakan bawang dan sedikit bawang putih. Tetapi, jika saya menyediakan hidangan ini untuk tetamu, maka, ia dihasilkan tanpa bawang,” jelasnya.

Telur, tomato, cili hijau dan garam adalah bahan asas bagi memasak ‘menemen’ tetapi rempah seperti lada hitam dan lada merah kisar boleh juga ditambah dalam masakan itu.




Segelintir chef mungkin bereksperimen dengan ‘menemen’ dengan memasukkan sedikit daging cincang, ‘pastırma’ atau ‘sucuk’ iaitu sosej kering dan pedas.

Feta, seperti mana produk tenusu yang banyak terdapat di Turki, juga boleh ditambah dalam hidangan itu.

Mereka yang sukakan ‘menemen’ dengan bawang cenderung menggunakan lebih banyak rempah, dan ini mungkin dipengaruhi oleh citarasa serantau.

Menambah bahan lain selain yang asas boleh merosakkan kesedapan ‘menemen’, kata mereka yang mahukan hidangan tradisional itu kekal seperti mana asalnya.

Proses menyediakan ‘menemen’ kelihatan sangat senang malah, mereka yang amatur pun mudah memasaknya.

Langkah pertama adalah dengan memanaskan minyak dalam kuali sebelum menumis bawang cincang sehingga berwarna kekuningan. Selepas itu, masukkan cili hijau diikuti tomato cincang dan akhirnya menuangkan telur yang dipukul.

Ia perlu dikacau rata bagi mendapatkan kelembapan, tekstur dan rasa yang betul untuk menjadikan ‘menemen’ hidangan sarapan pilihan.

Mudahnya menyediakan hidangan berkhasiat itu adalah satu daripada sebab mengapa ia menjadi antara sajian asli Turki.

Di kediaman penduduk Turki, ‘menemen’ dimakan dengan roti segar. Namun, keadaannya berbeza di hotel-hotel kerana para pelancong akan terus memakannya begitu sahaja.

Menemen. Sumber: mrbreakfast.com

Kaji selidik pengkritik makanan selebriti itu, bagaimanapun, nyata tidak diterima ramai pihak.

Ada yang menganggapnya sebagai isu remeh yang tidak perlu diperbahaskan lebih-lebih lagi dengan adanya banyak perkara lain yang lebih penting untuk dibincangkan.

Apa pun, mereka yang mengunjungi Turki tidaklah perlu gusar tentang hidangan itu. Ini kerana, sarapan tipikal di Turki merangkumi pelbagai hidangan panas dan sejuk yang enak, selain ‘menemen’ bukannya ketara dalam sajian bufet.

Sumber: Bernama

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon