Friday, August 24, 2018

Rakyat Sepanyol resah kerana populasi babi melebihi jumlah penduduk

Tags

MADRID - Statistik terbaru tentang jumlah babi yang disembelih di Sepanyol menimbulkan kerisauan di negara tersebut.

Sekadar gambar hiasan; Sumber Google Images

Media massa melaporkan bahawa populasi haiwan tersebut mungkin akan melepasi bilangan penduduk dan akhirnya memonopoli sumber tenaga setempat dan memberi kesan terhadap alam sekitar.

Baru-baru ini, Sepanyol mengeluarkan data yang menunjukkan negara itu telah menyembelih sekitar 50 juta ekor babi pada tahun 2017. Angka ini bererti bilangan babi adalah 3.5 juta lebih banyak jika dibandingkan dengan bilangan penduduk Sepanyol iaitu 46.5 juta orang. Fakta ini menyebabkan media tempatan menyuarakan 'keresahan' dan risau populasi babi di Sepanyol akan mengatasi jumlah penduduk Sepanyol.

Menurut Euronews, ada kalanya populasi babi itu akan berkurang sehingga 16 juta ekor, kerana bilangan babi yang disembelih. Meskipun demikian, isu ini menjadi perhatian meluas di seluruh Kesatuan Eropah (EU) kerana, penternakan babi yang tumbuh dengan pesat boleh menyebabkan jumlah haiwan tersebut akan lebih banyak berbanding jumlah penduduk.

Ketika ini, satu-satunya negara EU yang mempunyai populasi babi lebih banyak dibanding penduduk ialah Denmark. Menurut data Eurostat pada tahun 2016, nisbah populasi babi dan penduduk di Denmark ialah 215 ekor babi untuk setiap 100 orang. Jumlah penduduk Denmark adalah 5.7 juta orang. Hal ini bererti, terdapat sekitar 12.3 juta ekor babi di negara tersebut.

Sekadar gambar hiasan; Sumber Google Images

Belanda, Sepanyol dan Belgium juga memiliki populasi babi yang tinggi dan dengan cepat akan mengatasi jumlah penduduk. Kerisauan yang paling besar mungkin menimpa Sepanyol, kerana di negara itu terdapat sekitar 30 juta ekor babi, yang menjadikannya negara dengan populasi babi terbesar dalam kalangan negara anggota EU.

Menurut surat kabar Publico, lonjakan penternakan babi sejak lima tahun kebelakangan ini terjadi kerana permintaan yang tinggi terhadap eksport produk daging babi salai.

Jenis daging babi Iberico dan Jamon Serrano yang diternak di eropah mendapat permintaan tinggi di negara China, Jepun dan negara-negara di Asia Tenggara. 

Sekadar gambar hiasan; Sumber Google Images

Masalah yang timbul ialah, pengurusan domestik penternakan babi memberi tekanan kepada sumber tenaga dan alam sekitar di Sepanyol. Beberapa kawasan di Sepanyol mengalami masalah kekeringan yang teruk, sedangkan setiap ekor babi memerlukan sekitar 15 liter air sehari.

LSM Ecologists in Action memperingatkan bahawa haiwan ternakan tersebut berisiko mencemari sumber air dengan nitrat dari kotorannya. Selain itu, Kementerian Ekologi Sepanyol, menyatakan bahawa penternakan haiwan itu juga bertanggungjawab terhadap sejumlah besar masalah kesan rumah hijau.

Kementerian Ekologi juga mengatakan, penternakan babi menyumbang sebanyak 10% daripada jumlah penghasilan kesan rumah hijau iaitu yang keempat selepas penggunaan elektrik, perindustrian dan pengangkutan.

Artikel ini diolah semula dari artikel asal di Kompas.com dengan judul "Jumlah Babi Melampaui Manusia, Warga Spanyol Resah",

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon