Tuesday, August 21, 2018

Kucing sempat diselamatkan sebelum menjadi hidangan tengah malam

Nyawa seekor kucing sempat diselamatkan apabila ular sawa batik yang sedang kelaparan cuba membaham kucing, namun gagal apabila ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar, malam tadi.

Sekadar Gambar Hiasan

Ular seberat 40 kilogram itu ditemui di tepi masjid di Langgar, dekat Alor Setar oleh orang awam yang ternampak kelibat reptilia sepanjang kira-kira lima meter itu.

Pegawai Operasi APM Kota Setar, Leftenan (PA) Mohamad Rizal Abdul Razak berkata, operasi diketuai Sarjan (PA) Elliyes Hashim dan tiga anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11 malam.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati ular sawa batik itu masih berada di lokasi dan cuba untuk membaham kucing berkenaan.

"Bagaimanapun, anggota kami mengambil masa kira-kira 45 minit menggunakan kemahiran yang ada dan perlu berhati-hati kerana ia bertindak agresif dan cuba melawan anggota berkenaan.

"Berkemungkinan disebabkan lapar atau terasa terancam membuatkan reptilia itu bertindak demikian, namun akhirnya berjaya ditangkap anggota kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Rizal juga meminta orang awam yang hendak membuat laporan mengenai kehadiran reptilia berbisa masuk ke rumah boleh menghubungi talian 999 atau talian hotline APM Kota Setar (Operasi) 04-7323801 atau 04-7323810.

"Ular sawa itu kemudian dibawa ke pejabat APM Kota Setar untuk perlindungan sementara dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya. -MyMetro

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon