Wednesday, August 22, 2018

Sembilan Kesilapan Perlu Dielakkan Oleh Pasangan Baru Berkahwin

Tags

Sekadar Gambar Hiasan

Jika anda merancang untuk berkahwin dalam masa yang terdekat ataupun baru sahaja mendirikan rumah tangga, tahniah diucapkan dan selamat datang ke dunia baru, hidup yang baru. Tahukah anda kenapa? Pasangan baru berkahwin adalah seperti pelajar baru yang baru memasuki universiti. Pada mulanya, merasa sungguh gembira kerana berjaya memasuki menara gading. Tetapi apabila kursus-kursusnya bermula, dengan kerja kursus dan seminar, akan timbul perasaan tidak suka universiti dan tidak sabar-sabar untuk lulus pengajian di situ. Perkahwinan juga seperti itu.

Perjalanan hidup dalam perkahwinan boleh menjadi penuh duri dan ranjau kerana pasangan pasti sahaja melakukan kesilapan meskipun mereka telah membuat komitmen sampai mati antara satu sama lain di mimbar. Percayalah, pernikahan adalah hubungan yang terbaik pernah wujud kerana ianya berdasarkan kepercayaan, toleransi, pemahaman, pengorbanan dan Tuhan. Berikut merupakan 9 kesilapan yang dapat dielakkan oleh pasangan yang baru berkahwin dan tips bagaimana untuk mengatasinya. 

1. Gagal Membuat Rancangan Untuk Kehidupan Selepas Nikah

Kebanyakan pasangan terlalu tertumpu kepada rancangan perkahwinan, acara perkahwinan itu sendiri, dan acara-acara lain yang berkaitan dengan perkahwinan itu sehingga mereka terlupa bahawa semuanya itu berakhir dalam masa sehari sahaja. Sesetengah orang sampai menggunakan seluruh sumber mereka untuk hari perkahwinan dan lupa bahawa hidup pernikahan bermula selepas keceriaan hari perkahwinan. Selepas acara perkahwinan, anda perlu hidup bersama, bertoleransi satu dengan lain dan merancang keluarga anda. Para pasangan perlu merencana untuk hidup selepas nikah walaupun sebelum hari perkahwinan sebab pasangan yang gagal untuk merancang, merancang untuk gagal. Namun begitu, biarlah perkahwinan anda penuh kenangan tetapi janganlah meletakkan seluruh sumber anda untuk meraikan perkahwinan. 

2. Tidak Memahami Apakah Perkahwinan Itu

Sesetengah pasangan tidak memahami apakah perkahwinan itu dan terus meluru ke dalamnya seolah-olah berfikir bahawa ianya adalah taman bunga atau wadah untuk menikmati satu sama lain. Pernikahan adalah jauh daripada itu. Namun begitu, ada waktu-waktu nikmatnya tetapi ada juga waktu-waktu sulit yang perlu dilalui oleh pasangan-pasangan. Banyak pasangan yang cepat-cepat berkahwin dan juga cepat-cepat meninggalkannya. Kebolehan para pasangan untuk mengatasi waktu-waktu yang sukar dan cabaran-cabaran akan membantu memperkukuhkan pernikahan. Sebelum anda meluru masuk ke alam perkahwinan, dapatkan nasihat daripada ibu bapa atau seorang pakar untuk lebih memahami akan kehidupan yang anda bakal ceburi. 

3. Usaha Untuk Mengubah Pasangan Anda

Ini adalah salah satu kesilapan terbesar yang dilakukan oleh pasangan-pasangan oleh kerana mereka berfikir bahawa perkahwinan akan secara automatik mengubah pasangan mereka. Perubahan ialah sesuatu yang tetap dan mengambil masa untuk terjadi. Anda telah mengahwininya kerana cinta, oleh itu biarlah cinta itu yang menerajui dalam perkahwinan. Cinta itu pengorbanan, Terimalah pasangan anda seadanya dan berikan kepadanya ruang untuk bertambah baik. Perubahan itu tak pernah automatik dan usaha untuk mengubah karakter pasangan anda serta-merta mungkin akan melukai perasaan pasangan anda dan boleh membawa kerosakan pada perkahwinan anda. 

4. Terburu-buru Untuk Mendapatkan Anak

Anak-anak adalah hadiah yang sangat berharga daripada Tuhan dan memiliki anak adalah tanda keberhasilan perkahwinan. Masalahnya di sini ialah kebanyakan pasangan tergesa-gesa untuk mendapatkan anak tanpa memberikan diri mereka cukup masa untuk hidup berkahwin. Nikmati dan manjakan satu sama lain untuk setempoh waktu sebab apabila anak-anak tiba, fokus dan perhatian akan beralih daripada pasangan anda kepada anak-anak anda. Mereka menjadi keutamaan yang kita tidak dapat elakkan dari. Oleh itu, nikmati waktu bersama dan buat keputusan bersama mengenai waktu yang terbaik untuk mendapatkan anak. 

5. Tidak Sehaluan Dengan Mertua Anda

Seperti mana dengan banyak keluarga, tidak dapat sehaluan dengan mertua anda sebelum dan selepas hari pernikahan mungkin akan menghantar isyarat yang salah kepada keluarga mempelai lelaki atau perempuan. Jika masalah itu sudah wujud, jadilah orang pertama untuk menghulurkan tangan perdamaian oleh kerana sartu-satunya orang yang akan dicaci dan dipersalahkan adalah pasangan anda, yang mungkin terperangkap di tengah-tengah. 




6. Berkelakuan Seolah-olah Masih Bujang

Sebaik sahaja anda diisytiharkan sebagai suami dan isteri di mimbar, itu menandakan berakhirnya zaman bujang anda. Berpesta, melepak dengan kawan-kawan atau segala macam perkara yang terjadi semasa anda bujang harus samada diminimakan atau dihentikan sebab sekarang anda mempunyai tangunggjawab kepada satu sama lain. Sebagai seorang yang sudah berkahwin, ada kelakuan-kelakuan yang harus dihentikan yang tidak lagi sesuai. Selalu mengutamakan pasangan anda di atas segala sesuatu. Belajar melakukan perkara yang betul supaya dapat membawa peningkatan dalam perkahwinan anda. 

7. Mengelakkan Perbincangan Yang Penting

Tidak kira bagaimana pasangan-pasangan cuba melarikan dari daripada isu-isu yang penting, mereka tidak dapat mengelak daripadanya. Topik-topik seperti bagaimana untuk menguruskan kewangan, bila untuk mendapatkan anak, merancang untuk masa depan anak-anak dan bagaimana bersedia untuk hal-hal yang tidak dijangka, seperti kematian dan lain-lain, adalah amat penting. Semua ini dan lebih lagi adalah apa yang membentuk perkahwinan dan harus diuruskan. Bincangkan isu-isu ini dengan pasangan anda dan dapatkan nasihat jika isu itu memerlukannya.

8. Mengizinkan Keegoan Di Dalam Hubungan 

Bukan semua pergaduhan dapat dimenangi oleh suami atau isteri, dan mengambil tanggungjawab dan mengaku kesilapan adalah satu petanda kematangan. Ingat bahawa ego itu adalah sesuatu yang ada pada setiap orang tetapi kebolehan untuk melepaskannya adalah kunci kepada perkahwinan yang berjaya. Biarlah yang menjadi suami tidak mengatakan, "Oleh kerana saya ketua rumahtangga, saya tidak akan melakukan ini atau itu," atau isterinya mengatakan, "Oleh kerana saya isteri, dia harus membekalkan yang ini atau yang itu." Keegoan telah memusnahkan banyak hubungan perkahwinan. Anda mesti mengizinkan diri anda untuk lebih berlembut dan mengambil tanggungjawab atas tindakan-tindakan anda. 

9. Membuat Keputusan Sendiri Tanpa Berbincang Dengan Pasangan

Kebanyakan pasangan lupa bahawa dua akal adalah lebih baik daripada satu apabila tiba waktu untuk mengambil keputusan. Mungkin sewaktu anda masih bujang, anda mempunyai kesempatan untuk membuat keputusan tertentu seperti ke mana untuk pergi selepas kerja, ke mana pergi untuk bercuti, bagaimana untuk membelanjakan wang anda dan seterusnya. Sekarang anda sudah berkahwin, keputusan-keputusan itu bukan untuk anda ambil seorang diri. Membuat keputusan sendiri boleh memecah-belahkan perkahwinan sebab keputusan anda boleh membawa kesan kepada pasangan anda. Adalah yang terbaik anda membuat keputusan bersama untuk mempunyai pemahaman yang lebih baik bagaimana untuk menangani isu tertentu. 

Terdapat banyak lagi kesilapan-kesilapan tetapi inilah yang utama. Perkahwinan adalah institusi yang memerlukan masa untuk disempurnakan dan ianya memerlukan toleransi, pemahaman, pengorbanan dan Tuhan. Mengizinkan rasa sakit hati bertumbuh, menafikan seks pada pasangan, tidak peka kepada perasaan pasangan dan tidak memberi ruang kepada satu sama lain adalah juga kesilapan-kesilapan yang harus dielakkan untuk membina perkahwinan yang berjaya. 

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Sunday Adelaja's Blog bertajuk "9 Mistakes Singles And Newly-Weds Need To Avoid!" penulisan Chizoba Ikenwa bertarikh 14 Februari 2016) -Disesuaikan dari; domba2domba

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon