Tuesday, September 11, 2018

Kenali Batu Sumpah Peringatan penerimaan pribumi Sabah terhadap Gagasan Malaysia

Tags

Batu Sumpah Keningau ialah monumen penting Malaysia yang terletak di daerah Keningau, Sabah. Ia dibina bagi memperingati peristiwa Jajahan Mahkota British di Borneo Utara (Sabah) bergabung bersama Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk sebuah negara baru iaitu Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Keratan akbar lama

Jaminan Kerajaan Malaysia

Batu Sumpah Keningau mempunyai makna yang besar kepada masyarakat Bahagian Pedalaman, juga kepada seluruh rakyat Sabah.

Ini kerana, batu sumpah peringatan ini yang kini berusia 55 tahun merupakan batu simbolik yang mempamerkan jaminan bersumpah Kerajaan Malaysia kepada rakyat Sabah khususnya tentang hak-hak kemerdekaan mereka dalam Gagasan Malaysia.

Kenangan Sabah merdeka

Berikut adalah teks dalam plak yang tersemat di Batu Sumpah Keningau yang ditulis dalam bahasa Melayu, dengan gaya ejaan lama;

Batu Sumpah Peringatan Mengikut Parlambaga'an 

1. Ugama Bebas Dalam Sabah 
2. Tanah2 Dalam Sabah Di-Kuasa Oleh Kerajaan Sabah 
3. Adat Istiadat Anak Rayat Sabah Di-hormatkan dan Di-pelihara Oleh Kerajaan 

Sebalek Pula Rayat2 Sabah di Interior Bersumpah Ta'at Setia Kapada Kerajaan Malaysia

Batu Sumpah

Ringkasnya, Batu Sumpah ini adalah ringkasan cadangan Perjanjian 20 Perkara Sabah, yang ditakrifkan sebagai "jaminan" oleh Kerajaan Malaysia kepada Sabah sebagai imbalan taat setia rakyat Bahagian Pedalaman, Sabah kepada Malaysia.

Sejarah dan fakta Batu Sumpah

Tradisi bersumpah biasanya dipraktikkan oleh masyarakat tempatan kerana mereka percaya tentang sesuatu perjanjian melalui upacara bersumpah adalah lebih kuat berbanding perjanjian melalui dokumen bersurat.

Keratan akbar lama

Difahamkan beberapa ketua masyarakat pribumi terkemuka (yang dikenali sebagai Orang Kaya Kaya) pada awalnya bimbang dengan idea Gagasan Malaysia, kerana khuatir mereka tidak faham dengan apa yang tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Selepas keraguan mereka diatasi, muncul idea untuk mendirikan batu sumpah peringatan sebagai menunjukkan penerimaan mereka terhadap Gagasan Malaysia.

Setelah mendapat persetujuan daripada masyarakat pedalaman, tugas mencari batu yang sesuai untuk didirikan diamanahkan kepada Tan Sri Richard Lind yang merupakan Pegawai Daerah Keningau (kemudiannya dilantik sebagai setiausaha kerajaan negeri) pada ketika itu.

1. Beliau sendiri mencari batu yang sesuai dan berjaya memilih seketul batu di tengah Sungai Pegalan berhampiran Kampung Senagang.

2. Kontraktor tempatan telah dilantik untuk mengambil batu itu dan mengangkutnya ke Keningau sebelum didirikan di hadapan Pejabat Daerah Keningau (lokasi lama).



3. Batu itu diukir oleh Garukon Gurun, seorang bekas Ketua Sarjan Polis Konstabulari Borneo Utara.

4. Plak batu sumpah yang tertulis tiga perkara penting yang dituntut rakyat pedalaman ditempah khas dari sebuah syarikat di Singapura dikenali sebagai Thornycraft Shipyard.

5. Batu Sumpah itu mempunyai ketinggian lebih kurang dua meter, 24 sentimeter tebal dan 1.5 meter lebar di bahagian atas.

Antara pemimpin yang terlibat dalam menentukan ayat-ayat pada plak Batu Sumpah Keningau ialah pemimpin dari parti Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu seperti Datuk Anthony Undan Andulag, Datuk Angian Andulag, Datuk Arif Salleh dan Chu Shin Kee serta pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Arshad Abdul Rahim.

Perasmian Batu Sumpah

Upacara perasmian dan buka tirai Batu Sumpah dilakukan di hadapan Menteri Buruh Persekutuan, Tan Sri V. Manickavasagam (mewakili Perdana Menteri Malaysia), Donald Stephens (Ketua Menteri Sabah), G.S. Sundang (Presiden Pasok Momogun), Yeap Kee Aik (Setiausaha Persekutuan), Richard Lind (Pegawai Daerah), OKK Sedomon, OKK Angian Andulag, Ketua Polis Keningau Ajamain bin Duraman, Ketua-Ketua Anak Negeri, pegawai-pegawai kerajaan dan wakil-wakil kumpulan etnik di perkarangan Pejabat Daerah Keningau pada 31 Ogos 1964.

Upacara perasmian

Upacara Moningolig

Pada tahun-tahun awal, upacara korban yang dipanggil 'moningolig' diadakan di tapak batu sumpah bersempena sambutan Hari Malaysia, yang dihadiri orang ramai, termasuk ahli politik, kakitangan kerajaan, pelajar serta pemimpin masyarakat yang mewakili pelbagai kaum etnik.

Upacara ini juga merupakan penghargaan kepada para pemimpin zaman sebelum kemerdekaan untuk mengingatkan generasi muda akan peranan Sabah dalam mewujudkan Persekutuan Malaysia.

Ritual Maningolig disusuli dengan korban haiwan oleh 'bobolian' (Ketua Adat Kadazandusun dan Murut) dibuat mengikut adat kepercayaan orang Murut bagi mengikat janji.

Bagi memperingati Hari Malaysia 2010, Parti Keadilan Rakyat yang dipimpin oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan (kemudiannya menjadi presiden STAR Sabah), mengembalikan semula acara ritual Maningolig ke atas batu sumpah.

Kontroversi

Pelbagai isu dibangkitkan berkaitan batu sumpah ini sejak ia dirasmikan pada tahun 1964.

Pertama ialah butiran pada plak yang didakwa dibuang selepas diganti baharu ketika batu sumpah itu dipindahkan dari tapak asal berhampiran Hotel Perkasa, Keningau pada tahun 1982. Selepas dipindahkan, plak batu sumpah dikatakan telah ditukar beberapa kali.

Isu kedua ialah apabila Pengerusi Parti STAR Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan kira-kira 300 orang awam tidak dibenarkan masuk oleh pihak polis ke dalam perkarangan Pejabat Daerah Keningau yang menempatkan Batu Sumpah tersebut ketika Sambutan Hari Malaysia beberapa tahun yang lalu.

Isu menjadi lebih hangat apabila beliau menyoalkan tentang satu ayat "Kerajaan Malaysia Jamin" yang hilang dari plak batu sumpah tersebut.

Sejak itu, Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebuah parti pembangkang ketika itu telah mendirikan lebih lima buah replika batu sumpah dengan teks asal di lima lokasi di Sabah iaitu di Inanam, Pensiangan, Moyog, Merotai, dan Matunggong.

Kemudian isu penemuan plak asal pada 6 Julai 2015 yang didakwa sengaja disembunyikan sehingga timbul dakwaan ada agenda untuk menidakkan janji yang dimeterai di antara rakyat Sabah dengan kerajaan pusat ketika Malaysia dibentuk.

Namun begitu, Pengarah Muzium Sabah, Joanna Kitingan, yang merupakan kakak kepada Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, melahirkan rasa keraguan tentang keaslian plak yang dijumpai itu.

Plak asal



Plak gantian

Seperti yang boleh lihat, ayat "Kerajaan Malaysia Jamin" tidak ditulis semula di plak yang baharu. 

Pemindahan Batu Sumpah

Upacara pemindahan Batu Sumpah telahpun selesai dipindahkan ke lokasi baru berdekatan dengan Muzium Warisan Keningau pada 9 September 2018 

Batu sumpah berkenaan diangkat dan dipindahkan menggunakan lori 10 tan dan diarak sejauh satu kilometer yang dipimpin oleh Ketua Bobolian, Muri Kulim bersama kira-kira 1,000 pengiring.



Muri Kulim (2 dari kiri)

Sebanyak 21 haiwan ternakan yang terdiri daripada 7 ekor kerbau, 7 ekor babi dan 7 ekor ayam putih dikorbankan dalam upacara ritual pemindahan Batu Sumpah Peringatan Keningau pada hari tersebut bagi memastikan proses memindahkan batu sumpah itu berjalan lancar.

Haiwan korbanan

Ritual itu dikatakan mematuhi segala terma serta kaedah mengikut adat istiadat penduduk Kadazandusun dan Murut (KDM) pedalaman sebagaimana ia dilakukan ketika batu sumpah berkenaan didirikan pada 31 Ogos 1964.

Upacara pemindahan

Upacara pemindahan batu sumpah berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Sabah, Raymond Ahuar yang turut menyifatkan ia sebagai peristiwa bersejarah yang perlu diketahui oleh semua rakyat Malaysia.

Upacara pemindahan

Upacara pemindahan

Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bersama YB Robert Tawik (ADUN Bingkor) turut melawat batu sumpah sebelum dipindahkan.

Jeffery dan Tawik

Terdahulu, pemindahan Batu Sumpah dicadangkan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup atas sebab lokasinya tidak lagi sesuai kerana tapak batu sumpah itu akan digunakan untuk memperbesar bangunan pejabat daerah.

Projek pemindahan batu sumpah dari perkarangan Pejabat Urusetia Daerah Keningau ke Muzium Warisan Keningau itu menelan belanja kira-kira RM1.025 juta.

Tonton video rakaman upacara ritual pemindahan batu sumpah. Sedikit melucukan;


Kredit video: facebook Marutin Ansiung Ansiung

Share jika anda rasa artikel ini menarik.
Sharing is Caring

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon