Sunday, September 23, 2018

Kerana cuai sehingga pelajarnya lumpuh, maahad tahfiz diperintah bayar ganti rugi RM4.3 juta

Tags

KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkan Maahad Tahfiz Al-Hashimi di Kuala Krai membayar ganti rugi am dan khas kerana kecuaian berjumlah RM4.3 juta kepada bekas pelajarnya yang lumpuh akibat kemalangan pada Jun tahun lalu.

Muhammad Faiz

Hakim Nazri Ismail memerintahkan tiga defendan, iaitu pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, CT-One Corporation Sdn Bhd dan Maahad Tahfiz Al-Hashimi bertanggungjawab secara vikarius dengan membayar kos itu kepada Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 18.

Jumlah berkenaan termasuk ganti rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang retak saraf tunjang sehingga menyebabkan mangsa lumpuh seumur hidup, serta bagi kos pembelian lampin pakai buang dan tiub makanan serta jururawat persendirian.

Plaintif diwakili peguam, R Kameswary dan Mazlinda Mahmud, manakala pengasas Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Datuk Adnan Hashim, diwakili Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah dan Azman.

Muhammad Faiz Hafizuddin yang turut dibawa ke mahkamah hari ini dilihat mengalirkan air mata sebaik mahkamah membuat keputusan itu.

Faiz turut hadir di mahkamah

Sementara itu, Kameswary berkata, perbicaraan mengambil masa dua hari sahaja dengan empat saksi dipanggil, termasuk ibu bapa mangsa dan pengasas maahad tahfiz terbabit.

“Semakan mendapati van dinaiki mangsa tidak memiliki insurans terhadap pelajarnya dan pada hari kejadian, kenderaan itu dipandu oleh pemandu yang tidak ada lesen.

“Pemandu van itu adalah kakitangan maahad dan syarikat van CT-One Corporation Sdn Bhd juga milik maahad terbabit,” katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian 2 Jun tahun lalu, tujuh daripada 12 pelajar tahfiz terkorban dengan lima daripadanya maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK).


Ketika kejadian, pelajar berkenaan dalam perjalanan untuk menghadiri program tafsir al-Quran di Madinah Ramadan Kota Bharu, di sini, sebelum van dinaiki terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Izahir Kassim, 50, bersyukur keputusan mahkamah memihak kepada anaknya dan sekurang-kurang nasib Muhammad Faiz Hafizuddin terbela.

“Duit yang bakal diperoleh ini bukan untuk saya atau isteri tetapi akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kos perubatan Muhammad Faiz Hafizuddin memandangkan saya sudah bersara.

“Saya mahu membawa anak menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam. Walaupun doktor memaklumkan peluang Muhammad Faiz Hafizuddin pulih adalah tipis, sekurang-kurangnya kami mencuba,” katanya.

Tetap sedih walau menang kes

Pada masa sama, Mohd Izahir kesal apabila ramai yang mengutuk tindakannya memfailkan tuntutan bagi pihak anaknya, sedangkan orang luar tidak tahu apa yang berlaku.


“Pada awalnya, saya tidak mahu memfailkan tuntutan walaupun ramai peguam datang memujuk. Saya cuba membuat tuntutan insurans penumpang, namun tidak mendapat kerjasama daripada pihak tahfiz.

“Malah, peguam juga mahu menyelesaikan perkara di luar mahkamah dengan menuntut RM500,000 dengan pengasas tahfiz, namun Datuk Adnan enggan membayar menyebabkan saya mula memfailkan tuntutan pada April lalu.

“Kos untuk anak saya setiap bulan sangat tinggi dan pembelian susu sahaja sudah melebihi RM1,000. Duit simpanan saya sudah habis sehingga saya terpaksa berhutang dengan keluarga untuk menanggung Muhammad Faiz Hafizuddin,” katanya.

Artikel: BH Online
Share artikel ini kepada rakan anda.
Sharing is Caring

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon