Tuesday, September 11, 2018

Tiga nelayan dipercayai menjadi mangsa culik di perairan Pulau Gaya, Semporna

Tags

Satu lagi kejadian culik dilaporkan berlaku di Sabah awal subuh tadi.

Sekadar gambar hiasan

Laporan awal kejadian tersebut melibatkan dua individu warganegara asing dipercayai diculik di perairan Pulau Gaya, Lautan Sulu dalam perairan Semporna kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Menurut seorang pemilik bot, kedua-dua mangsa culik tersebut merupakan warganegara Indonesia.

Walau bagaimanapun, difahamkan jumlah mangsa culik yang disahkan ialah tiga orang individu warganegara Indonesia.

Menurut Ketua Polis Sabah Datuk Omar Mammah, tiga mangsa dan seorang (lelaki tempatan dan sempat bersembunyi) lagi berada di sebuah kapal penangkap ikan dan baru sahaja berlabuh di jeti Pulau Gaya di Semporna.

Pulau Gaya, Semporna. Foto: unnianje

Difahamkan, kira-kira pukul 1 pagi, salah seorang krew mendengar bunyi enjin sebuah bot pam menghampiri kapal mereka dan tiba-tiba, bekalan kuasa di dalam kapal mereka terputus.

Beliau berkata suspek bercakap dalam dialek Suluk (kemungkinan Filipina).

Omar berkata lelaki tempatan itu akhirnya keluar daripada tempat persembunyian dan memberi isyarat kepada polis tentang insiden itu kira-kira pukul 2 pagi. 

Tiga orang rakannya gagal ditemui di lokasi kejadian. "Kami telah mengambil satu kenyataan dari orang tempatan ini dan siasatan sedang dijalankan," kata Omar sambil menambah bahawa pihak polis masih belum dimaklumkan mengenai sebarang panggilan tebusan yang berkaitan dengan kejadian tersebut.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, penculik yang menggunakan topeng dipercayai membawa senjata M16 tetapi jenis bot yang digunakan untuk melarikan diri belum dikenal pasti. 

"Kami juga menyiasat sama ada suspek merupakan kumpulan Abu Sayyaf," katanya.

Jika kes ini disahkan sepenuhnya sebagai kes culik, ia merupakan kejadian penculikan pertama dalam tempoh hampir dua tahun.

Ketika ini, perintah berkurung bermula pukul 6.00 petang hingga 6.00 pagi sedang berkuat kuasa di Sabah sejak empat tahun yang lalu meliputi kawasan laut sehingga tiga batu nautika dari daratan di perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Bagaimanapun, butiran lengkap mengenai mangsa dan insiden terbabit masih belum diperoleh.

Laporan akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Sumber: The Star Online

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon