Sunday, September 9, 2018

Warga emas ditembak menggunakan senapang patah kerana disangka kera

Tags

Mangsa tembakan. Foto: BHarian

Seorang lelaki warga emas hampir menemui ajal apabila terkena tembakan senapang patah ketika sedang memanjat pokok dabai di hutan Kampung Balan Jalan Melekun, Kapit, kelmarin.

Mangsa yang berusia 60-an memanjat pokok dabai tersebut secara bersendirian sebelum ditembak seorang lelaki yang juga warga emas berusia 64 tahun yang masuk ke kawasan hutan berkenaan untuk memburu menggunakan selaras senapang patah.

Hasil siasatan pihak polis, sebaik tiba di kawasan itu, suspek menyangka seekor kera berada di atas pokok dabai berkenaan sebelum melepaskan tembakan. 

Walau bagaimanapun, suspek terkejut apabila mendengar jeritan mangsa. Suspek kemudian bergegas melakukan pemeriksaan dan menemui seorang lelaki berlumuran darah di beberapa bahagian badan.

Terkejut dengan penemuan tersebut, suspek menghantar mangsa ke Hospital Kapit untuk mendapatkan rawatan sebelum tampil ke Balai Polis Kapit untuk membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Difahamkan kejadian tembakan tersebut berlaku kira-kira jam 5.40 petang.




Berdasarkan pemeriksaan lanjut oleh pasukan perubatan, mangsa mengalami kecederaan pada belakang kiri badan, punggung, siku kiri dan peha kanan akibat terkena peluru penabur digunakan suspek.

Sejurus menerima maklumat itu, polis menahan suspek selain merampas selaras senapang patah yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati senapang patah berkenaan dilesenkan atas nama bapa mentua suspek dan digunakan lelaki itu untuk memburu.

Mangsa pula dihantar ke Hospital Sibu untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru pada badannya dan dilaporkan stabil.

Kejadian ini disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian ketika bercakap kepada pihak media.

Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan pemilik senjata api juga akan disiasat mengikut Seksyen 8(b) akta sama kerana melanggar syarat permit iaitu membenarkan orang lain menggunakan senapang patah.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon