Monday, October 29, 2018

Empat beradik daripada empat madu berkongsi pentas Konvokesyen UiTM

Tags

EMPAT beradik melakar sejarah berkongsi pentas yang sama dan masing-masing menerima Diploma Perakaunan dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-89 di UiTM Cawangan Kelantan, Kota Bharu semalam (27 Oktober 2018).

Zulkepli (tengah) bergambar bersama empat anaknya, Ayu Syaheera (dua kiri), Juliana Aziera (empat kiri), Zul Azril (dua kanan) dan Zul Azrul (empat kanan) selepas masing-masing menerima Diploma Perakaunan dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-89 di UiTM Cawangan Kelantan.

Empat beradik yang berlainan ibu itu masing-masing berumur 21 tahun dan merupakan anak sebapa kepada pemilik firma akauntan, Datuk Dr. Zulkepli Mohamed.

Juliana Aziera merupakan anak sulung daripada empat beradik yang lahir pada bulan Februari diikuti Ayu Syaheera (Oktober) manakala, Zul Azril dan Zul Azrul pada bulan November.

Lebih manis apabila empat madu, Datin Hasnah Mat Ya, 59, Rafizah Senawi, 51, Nurida Razali, 51, serta Norreha Abdul Rahman, 48, amat rapat sewaktu menghadiri hari bersejarah anak masing-masing. 


Zulkepli yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Amal Datuk Zul Wisma berkata, dia amat berbangga dengan kejayaan anak-anaknya di mana dua daripadanya iaitu Ayu Syaheera dan Zul Azrul memperoleh Anugerah Naib Canselor apabila masing-masing mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89.

Zul Azril dan Zul Azrul sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM Machang dan Puncak Alam pada Mac lalu.

Manakala, Ayu dan Juliana sedang berkerja dan mencari pengalaman di syarikat milik bapa mereka.

"Kami sentiasa belajar bersama dan saling tolong-menolong antara satu sama lain tetapi papa juga merupakan rujukan utama kami. Kami akan berbincang dengan papa seandainya tidak memahami sesuatu subjek sama ada secara berhadapan ataupun melalui aplikasi WhatsApp.

"Kami juga bersaing secara sihat sesama sendiri untuk mencapai keputusan cemerlang setiap semester. Kami adik-beradik akan saling tunjuk ajar sesama sendiri dan sentiasa bersama dari kecil lagi," kata Ayu Syaheera ketika mengulas tentang kejayaan mereka berempat.

Share artikel ini kepada rakan anda.
Sharing is Caring

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon