Tuesday, October 2, 2018

Gara-gara tali rakit putus, remaja ini hanyut 49 hari dan dibawa berlayar hingga ke Jepun

Tags

Aldi Novel Adilang tak pernah menyangka akan terapung di laut selama 49 hari di atas rakit perangkap ikan dan mendapat liputan antarabangsa.

Ketika ditemui di rumahnya, remaja berusia 18 tahun yang berasal dari Desa Lansa, Kecamatan Wori, Kabupaten Minahasa Utara, Provinsi Sulawesi Utara, ini menceritakan kisahnya.

Rakit Aldi

Kisah Aldi bermula pada 14 Julai 2018. Ketika itu, angin selatan sedang bertiup, mengakibatkan tali pada rakitnya terputus.

"Ketika itu pukul 7.00 malam. Waktu itu, tali rakit saya putus kerana bergesel dengan rakit teman saya. Sayangnya, waktu itu dia masih tertidur, sehingga tidak tahu saya sudah hanyut," ujar Aldi kepada wartawan Eva Aruperes, yang melaporkan untuk BBC News Indonesia.

Selama beberapa hari hanyut, Aldi bergantung kepada makanan yang sedia ada. Namun, bekalan itu hanya dapat memenuhi keperluannya dalam tempoh seminggu.

"Beras, air bersih, rempah-rempah, bumbu dapur, gas memasak dan keperluan lainnya habis. Untuk bertahan hidup, saya memancing ikan dan memasaknya dengan cara dibakar, rebus bahkan dimakan mentah," katanya sambil tersenyum.


Setelah kehabisan gas memasak, remaja yang mendapat pendidikan hingga kelas 3 Sekolah Menengah itu mengaku memasak ikan menggunakan kayu dari rakitnya. Di atas kuali, dia membuat api untuk membakar dan merebus ikan.

Kesulitan lainnya adalah ketiadaan air bersih yang habis pada minggu pertama.

Dia mendapatkan air bersih dengan memeras air laut dengan bajunya. Menurut Aldi, dengan cara itu, rasa masin pada air dapat dikurangkan. Dia juga mengumpulkan air hujan untuk diminum.

Meminta pertolongan

Aldi ketika diselamatkan

Sambil bertahan hidup, Aldi terus berusaha mencari pertolongan. Namun tak satupun kapal yang mendengarkan suaranya.

Aldi tak henti membaca Alkitab bahkan menyanyi lagu rohani. Dia juga terus berdoa agar dapat selamat dan kembali bertemu orang tuanya. Namun, ada ketikanya dia terfikir untuk menenggelamkan dirinya kerana putus asa.

"Dia mengakui bahawa pada suatu tahap, dia mengalami depresi sehingga memikirkan untuk melemaskan dirinya. Tetapi dia menguatkan diri untuk terus bertahan melalui doa." - BBC News, 26 Sep 2018.

Hingga akhirnya, pada 31 Ogos 2018, dia mencuba meminta pertolongan dari kapal yang bermuatan batu arang. Ketika itu, kapal telah melepasinya sehingga satu batu. Tapi, kerana mendengar teriakannya, kapal tersebut berpatah balik dan menjatuhkan tali untuk menolongnya.

"Waktu itu saya teriak, 'Help, help'. Kerana cuma itu yang saya tahu," ujarnya.

Ketika ditolong, para anak kapal tersebut terus memberikan dia kain kerana pakaiannya telah basah. Mereka juga memberikannya air untuk diminum.

Setelah itu, Aldi diberikan kesempatan untuk makan, mandi, serta istirehat selama seminggu. Sepanjang berada dalam kapal, komunikasinya dengan anak kapal tak begitu baik disebabkan tidak fasih berbahasa inggeris..

"Kalau saya mengerti, saya jawab. Kalau tidak, saya pakai google translate dari telefon bimbit," ujarnya.

Aldi bersama orang tuanya

Pada 6 September 2018, kapal tersebut tiba di Jepun. Namun dia tidak dibenarkan turun dari kapal kerana dia tidak mempunyai pasport.

Surat izin turun kapal

Sehinggalah perwakilan Kedutaan Besar Indonesia serta pemerintah Jepun datang menjemput, Aldi dibenarkan turun dari kapal. Bagaimanapun dia tidak dibenarkan membawa hadiah yang diberikan oleh anak kapal.

Setelah pasportnya siap, Aldi akhirnya dihantar pulang ke Indonesia pada 8 September 2018 dan tiba sehari kemudian.

"Di lapangan terbang, saya dijemput orang tua serta keluarga besar saya," kenang Aldi.

Pengalaman hanyut tiga kali

Aldi menyatakan bahawa, terapung di laut selama 49 hari merupakan pengalaman hanyut ketiga yang pernah dia alami.

Aldi tidak mahu lagi ke laut

"Ini kali ketiga saya hanyut. Waktu pertama hanyut selama seminggu, saya ditolong kapal pemilik rakit. Kedua selama dua hari, saya juga ditolong oleh kapal pemilik rakit," ujar Aldi.


Di atas rakit, tiada kemudahan keselamatan seperti pelampung dan kompas. Bahkan, sebelum menaiki rakit, dia tak pernah diajarkan tentang keselamatan dalam pelayaran.

Dalam menjaga rakit, dirinya hanya berpandukan kepada arahan pakciknya selama seminggu. Ketika pertama kali naik rakit, dia tidak pandai berenang.

Selama bekerja di rakit, Aldi mengaku dia dikontrak selama setahun dengan gaji 2,000,000 rupiah (RM550) setiap bulan.

Pengalaman hanyut yang ketiga ini membuatkan dirinya memutuskan untuk tidak ke laut lagi. Dia ingin mencari pekerjaan lain.

Nota: Artikel asal telah diterbitkan lebih awal oleh Si Domba Putih dalam blog domba2domba dengan tajuk Remaja Indonesia Tak Henti Baca Alkitab Dan Berdoa Ketika Hanyut 49 Hari Di Laut. Pihak admin melakukan sedikit penyuntingan ayat tanpa mengubah maksud asalnya.

Share artikel ini kepada rakan anda.
Sharing is Caring

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon