Thursday, October 4, 2018

Operasi mencari dan menyelamat bertukar tragedi, 6 anggota bomba mati lemas

Tags

ENAM anggota bomba mati lemas selepas terbelit tali yang dipakai antara satu dengan yang lain akibat arus deras yang datang secara tiba-tiba ketika dalam misi mencari dan menyelamat di sebuah lombong di Tasik Putra Perdana, Puchong malam tadi (3/10/2018).

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9.15 malam tadi, enam penyelam berkenaan sudah lima minit melakukan selaman dalam air bagi mengesan seorang remaja yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu petang semalam.

Lokasi kejadian. FOTO: Kosmo

"Namun, secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang antara satu sama lain dan dipercayai menjadi punca peralatan menyelam dipakai tertanggal," katanya di lokasi kejadian.


Abdul Aziz berkata, beberapa anggota bomba yang berada di tebing cuba menarik tali yang mengikat mangsa namun tidak berjaya akibat arus terlalu kuat.

Katanya, mangsa pertama dikeluarkan selepas 30 minit usaha menarik mereka.

Sementara itu, Jurucakap Bomba Selangor berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berhubung kejadian lemas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada pukul 5.30 petang sebelum menghantar pasukan di lokasi kejadian.

Katanya, pasukan yang terlibat ialah anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, BBP Shah Alam dan BBP Perlabuhan Klang.

"Kesemua mereka berjaya dinaikkan ke permukaan dan diberikan bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan, namun mereka disahkan telah meninggal dunia," kata jurucakap berkenaan dalam satu kenyataan.

Anggota BOMBA yang lemas



Anggota bomba yang lemas ialah Mohd Fatah Hashim (34); Izatul Akma Wan Ibrahim (32); Mazlan Omarbaki (25); Yahya Ali (24); Adnan Othman (33), dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari (25). Kesemua mereka merupakan anggota daripada unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Mayat kesemua anggota bomba yang lemas itu telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Mayat anggota BOMBA

Sehingga pukul 11 malam tadi, remaja yang hilang itu masih belum dijumpai dan operasi mencari ditangguhkan ekoran cuaca gelap dan akan disambung pada jam 8 pagi ini.

Operasi pagi ini akan dijalankan secara bersama oleh bomba dan Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang. Sumber -BH Online/Kosmo

Share artikel ini kepada rakan anda.
Sharing is Caring

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon