Sunday, November 11, 2018

Bayi 9 bulan didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh meninggal dunia

Tags

KAJANG - Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa di hospital akibat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.

GAMBAR hiasan

Rabu lepas, seorang pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Serdang yang menerima bayi berkenaan sebagai pesakit pada pukul 3.05 petang telah membuat satu laporan polis.

Menurut laporan tersebut, mangsa yang dibawa ke hospital oleh ibu bapanya berada dalam keadaan kritikal dan telah diberi bantuan penafasan.

Hasil pemeriksaan oleh pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan baru pada selaput dara dan dubur mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, pihaknya mengesahkan kejadian tersebut dan telah menerima laporan polis yang dibuat oleh pegawai perubatan tersebut.

“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian bayi malang itu disebabkan tempurung kepala pecah akibat dipukul oleh objek tumpul selain terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala mangsa.

“Bedah siasat turut mendapati terdapat kesan penderaan seksual ke atas bayi dan pihak hospital berpendapat kematian mangsa mempunyai unsur-unsur perlakuan jenayah,” ujarnya.

Dzaffir juga memaklumkan bahawa pihak hospital telah mengesahkan mangsa meninggal dunia kelmarin (09/11/2018) pada pukul 10.30 pagi selepas dirujuk ke Hospital Serdang.

Share artikel ini kepada rakan anda.
Sharing is Caring

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon