Thursday, November 15, 2018

[Habuan seks guru-pelajar] Naib Presiden GPMS ingatkan ketua SPRM agar berhati-hati keluarkan kenyataan

Tags

KENYATAAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang mendedahkan ada guru meminta habuan seks daripada pelajar untuk lulus peperiksaan boleh menjatuhkan martabat profesion perguruan.

Nor Halmey (kiri), Mohd Shukri (kanan)

Pengerusi Biro Guru Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Nor Halmey Hamdan berkata, ini kerana jika ada kes sedemikian ianya hanyalah bersifat terpencil dan tidak wajar diperbesarkan.

Katanya, sebagai pendidik yang profesional, guru-guru di Malaysia berpegang utuh kepada integriti dan amanah yang diamalkan dalam profesion perguruan.

"Sekiranya didapati ada guru yang meminta habuan seks dari pelajar, guru tersebut telah melanggar profesionalisme profesion perguruan dan wajar dikenakan tindakan berat di bawah tatatertib dan jenayah, bukan atas kesalahan rasuah.

"Bagaimana pun, kes-kes seperti itu juga adalah amat terpencil dan ulasan Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan 'menyentak' hati guru-guru seluruh Malaysia yang benar-benar ikhlas mendidik anak bangsa," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Katanya, begitu juga dengan kenyataan Mohd Shukri yang mengatakan perlakuan rasuah turut berlaku di sekolah serta melibatkan murid, ia juga merupakan kes terpencil.


Jadi Naib Presiden GPMS itu berkata, SPRM tidak wajar menjadikan isu itu sebagai justifikasi untuk memperkenalkan subjek rasuah di sekolah.

"Sepanjang penglibatan saya sebagai guru dan selaku Pengerusi Biro Guru GPMS, saya ingin menjelaskan bahawa amalan biasa di sekolah adalah ketua kelas dan ketua pengawas dilantik oleh guru berdasarkan kebolehan dan ciri kepemimpinan pelajar tersebut.

"Sekiranya ada kes rasuah berlaku dalam pemilihan ketua kelas, ia adalah kes yang sangat terpencil dan tindakan disiplin boleh diambil terus kepada pelajar yang terlibat rasuah oleh pihak sekolah," katanya.

Justeru, GPMS meminta agar SPRM serta pihak yang terlibat dalam menangani rasuah agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan mahupun mengulas isu perlakuan rasuah yang berlaku di sekolah.

"Perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan supaya ia tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak khususnya profesion perguruan di negara ini yang telah banyak menyumbang bakti dan berkorban dengan penuh ikhlas dalam mendidik anak bangsa," katanya. -Sinar Online

Share artikel ini kepada rakan anda.
Sharing is Caring

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon