Thursday, March 21, 2019

Guru rajin alami tekanan dan ada yang diberikan kad psikiatri - NUTP

Tags

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendedahkan guru rajin di sekolah merupakan antara mereka yang berdepan dengan tekanan kerja yang tinggi.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata, ini kerana berlaku pengagihan tugas berdasarkan kepada usaha yang ditampilkan antara guru.

Guru rajin terbeban

"Biasanya di sekolah akan ada guru yang rajin dan disebabkan itu banyak tugas-tugas dibebankan kepada mereka. Sebenarnya mereka ini antara mereka yang berdepan masalah tekanan.

"Sekarang ini, apa yang penting di sekolah adalah kebijaksanaan pengetua dan guru besar dalam mengagihkan tugas. Dengan kata lain, menjadi tugas pengetua dan guru besar untuk menapis arahan yang diterima dan mengurangkan beban guru," katanya seperti yang dilaporkan oleh portal berita Sinar Harian.

Kelmarin, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan lebih 400,000 penjawat awam tertekan dengan kerja sehingga mengalami tekanan jiwa bahkan ada yang diberikan kad psikiatri.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, 25 hingga 30 peratus daripada 1.67 juta penjawat awam mengalami tekanan dan trend tersebut tidak menunjukkan sebarang pengurangan sejak beberapa tahun lepas.

Menurutnya, isu kos sara hidup dan tekanan semasa bekerja dilihat antara faktor utama menyebabkan penjawat awam terus dibelenggu tekanan.

Mengulas lanjut, Kamarozaman mendesak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua dan guru besar mengurangkan tekanan kerja guru-guru di sekolah.

Jelasnya, walaupun pelbagai usaha daripada Kementerian Pendidikan dilaksanakan termasuk sembilan inisiaf yang diperkenalkan oleh menterinya, Dr Maszlee Malik, namun ia seolah-olah tidak sampai ke peringkat bawah.

"Inisiaf yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan sebenarnya telah mengurangkan tugas guru tetapi pengetua dan guru besar seperti tidak percaya kepada punca kuasa yang diberikan selain berfikir cara lama.

"Jika diikutkan, kita telah selesaikan masalah tekanan kerja guru seperti tugas sampingan seperti fail buku teks yang tidak perlu terlalu terperinci seperti sebelum ini.

Jika dahulu ada sembilan, sekarang cuma dua sahaja. Begitu juga dengan fail panitia yang digabungkan daripada enam menjadi satu," katanya.

Sekadar gambar hiasan

Beliau berharap pengetua dan guru besar tidak mengganggu tugas pengajaran dan pembelajaran di sekolah dengan tugas-tugas sampingan.

"Kita perlu fokus kepada tugas mendidik pelajar di sekolah dan ini perkara yang ditekankan oleh Maszlee.

"Kerja-kerja dokumentasi dan rekod berkaitan murid tidak lagi seperti dahulu.

"Jika dahulu tekanan lebih tinggi tetapi banyak yang telah diselesaikan.

"Sekarang ini pun memang ada beban kerja yang belum dapat diselesaikan seperti murid ramai dalam satu kelas kerana melibatkan kewangan.

"Semua ini tugas kementerian untuk mengubah nisbah murid kepada guru," katanya. -Sumber: Sinar Harian

Kongsi artikel ini kepada rakan anda.
Sharing is Caring

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon